Demonstrasi selamat tebusan pukau pengunjung
LUMUT - Demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh anggota elit Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Udara TLDM memeriahkan lagi Hari Terbuka Armada 2019 di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM, di sini, hari ini.
Lebih 3,500 pengunjung yang hadir dilihat begitu teruja dan khusyuk menyaksikan pertunjukan pasukan panglima hitam semasa upacara pelancaran Hari Terbuka Armada 2019 sempena sambutan Hari TLDM ke-85.
Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli berkata, pihaknya dapat melihat keterujaan dan kegembiraan di wajah pengunjung yang melihat demonstrasi berkenaan yang menyajikan jalan cerita yang kemas.
Pengunjung yang hadir dipersembahkan dengan situasi cemas apabila orang kenamaan (VIP) diculik sekumpulan pengganas manakala dua pengawal peribadinya dicampak ke laut dengan kedua-dua kaki dan tangan diikat manakala dua lagi ditembak.
Kejadian itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa dan seterusnya pasukan elit Paskal dikerahkan ke lokasi bagi menyelamatkan tebusan apabila rundingan yang dijalankan gagal kerana tuntutan pengganas itu tidak dipenuhi.
Aksi tembak menembak disusuli dengan letupan antara anggota Paskal dan kumpulan pengganas berjaya memukau penonton yang teruja melihat kejadian yang mendebarkan itu, sekali gus mendapat tepukan gemuruh pengunjung apabila anggota elit terbabit berjaya menyelamatkan tebusan dengan pantas.
Menurut Rusli, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi berkenaan sebanyak dua kali sepanjang berlangsungnya Hari Terbuka Armada bermula hari ini dan esok.
"Sebelum ini demonstrasi banyak di lautan dan kali ini kita memberi lebih tumpuan kepada operasi membabitkan Paskal di bangunan dan untuk pertama kalinya juga kita menampilkan jet pejuang TUDM yang memberikan kelainan pada hari terbuka kali ini.
"Pengunjung dilihat begitu teruja dengan demonstrasi yang dijalankan, setakat dari jam 10 pagi tadi kira-kira 3,500 pengunjung hadir memeriahkan hari terbuka dan dijangka angka itu akan meningkat," katanya selepas merasmikan hari terbuka berkenaan di sini, hari ini.
Katanya, demonstrasi itu juga menunjukkan keupayaan dan siap saga anggota dan aset TLDM dalam menghadapi sebarang kemungkinan terutama pasukan Paskal yang sentiasa bersedia bukan saja di laut malah darat.
"Oleh itu bagi Hari Terbuka Armada kali ini kami menyasarkan lebih 45,000 kehadiran pengunjung sepanjang dua hari ia berlangsung dan TLDM mengalu-alukan kedatangan orang ramai menyaksikan sendiri acara yang dijalankan," katanya.
Selain daripada demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh pasukan Paskal dan Udara TLDM pengunjung juga disajikan dengan persembahan udara daripada aset udara TLDM iaitu pesawat Fennec dan Super Lynx.
Lebih tertarik, buat julung kalinya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menampilkan persembahan jet pejuang mereka iaitu F/A-18D Hornet yang melaksanakan flypast.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!