Tonto didakwa terima rasuah lebih RM100,000 daripada 10 syarikat lori

Seorang lelaki yang dipercayai tonto didakwa atas 43 pertuduhan menerima suapan daripada 10 syarikat pengangkutan lori berjumlah RM101,625, sejak 2016.- Foto Bernama.
Seorang lelaki yang dipercayai tonto didakwa atas 43 pertuduhan menerima suapan daripada 10 syarikat pengangkutan lori berjumlah RM101,625, sejak 2016.- Foto Bernama.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki yang dipercayai tonto dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Selasa atas 43 pertuduhan menerima suapan daripada 10 syarikat pengangkutan lori berjumlah RM101,625, sejak 2016.

Norsham Ahmad, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi semua pertuduhan, Norsham didakwa menerima suapan daripada 10 syarikat pengangkutan lori sebagai dorongan bagi pegawai badan awam iaitu pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Melaka untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik kesemua syarikat tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut menerusi transaksi pindahan dalam talian ke akaun miliknya, anak lelakinya serta seorang individu melibatkan beberapa bank di sini antara Jan 2016 hingga Mac 2021.

Norsham didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM50,000 kerana melibatkan jumlah suapan yang besar selain syarat tambahan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melapor diri ke pejabat SPRM Melaka sebulan sekali.

Peguam Fahmy Sulaiman yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya yang kini bekerja sendiri tidak mempunyai pendapatan tetap selain menghidap penyakit kencing manis.

Elesabet membenarkan jaminan RM45,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan dan menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes. - Bernama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!