Majlis makan malam amal bantu keluarga tahanan Israel
SEREMBAN - Lebih RM50,000 dana berjaya dikumpul menerusi Majlis Makan Malam Gala Amal Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 yang diadakan di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Mahabbah Malaysia dan Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Seremban itu diadakan bertujuan mengumpul dana bagi membiayai sekurang-kurangnya 20 keluarga tahanan penjara rejim Israel.
Penasihat IPCKL, Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, secara umumnya keadaan penduduk Palestin di Tebing Barat sangat menderita dan memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak.
"Mereka dipenjarakan dari pelbagai aspek kehidupan misalnya sumber air yang dikawal oleh rejim Zionis dan anak-anak terpaksa melalui 'check points' untuk sampai ke sekolah.
"IPCKL 2023 yang membawa tema The Cage Eye adalah sebagai simbolik solidariti kepada penderitaan tahanan rakyat Palestin yang dikurung dalam penjara haram rejim Zionis," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat menyokong segala bentuk kempen bagi memberi tekanan berterusan kepada Israel sekali gus menamatkan keganasan dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Tambahnya, maklumat mengenai penindasan rakyat Palestin perlu disebarluaskan terhadap rakyat negara ini termasuklah yang bukan beragama Islam.
"Kita mahu mereka faham penindasan rakyat Palestin oleh Israel bukan hanya isu agama semata-mata, sebaliknya turut membabitkan isu kemanusiaan.
"Di Eropah, rakyat bukan Islam sudah mula sedar dan membuka mata. Terima kasih semua atas sokongan bagi menjayakan majlis makan malam amal kutipan dana ini," katanya.
Jelasnya, hasil kutipan dana berkenaan akan dihantar secepat mungkin kepada keluarga yang terjejas dengan harapan ia dapat membantu mereka meneruskan kehidupan.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Ketua Wanita Perkim, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, President MyCare, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nashruddin Mustafa, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran dan wakil pertubuhan dan delegasi dari 19 buah negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!