Perdana Menteri yakin pendaki negara mampu tawan Everest

Anwar bersama pasukan ME 2023 di bangunan Parlimen pada Selasa.
Anwar bersama pasukan ME 2023 di bangunan Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pasukan Malaysia Everest 2023 (ME 2023) mampu mencapai kejayaan menawan pucak tertinggi dunia itu sekaligus mengharumkan nama negara.

Perdana Menteri turut mengucapkan selamat pergi dan kembali kepada pasukan pendaki yang akan memulakan misi bermula April ini.

Menurut beliau, peserta dinasihatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri sepanjang menyertai misi itu.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjung dan suai kenal bersama pasukan ME 2023 di bangunan Parlimen di sini pada Selasa.

Hadir sama, Chef De Mission ME 2023, Tan Sri Salleh Mohd Nor.

Sementara itu, Ketua misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa bertemu dengan pendaki.

Beliau yang juga bekas pendaki Everest 2016 berkata, pertemuan ini sangat bermakna bagi mereka terutama kepada seorang peserta orang kurang upaya (OKU) pekak, Muhammad Hawari Hashim, 33, bagi menyuntik semangat.

"Motivasi diberikan Perdana Menteri ini akan dijadikan sebagai pembakar semangat kepada pendaki bagi mencapai kejayaan sekaligus mengharumkan nama negara di peringkat global," katanya.

Pertemuan ini turut disertai tiga pendaki lain iaitu Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampun Yaacub; anggota Komando 69 Kem Ulu Kinta, Koperal Pragash Murugesu, 33, dan kakitangan swasta, Ayu Wanirah Naharuddin, 30.

ME 2023 yang mendapat sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud bertujuan menawan puncak tertinggi dunia dengan mempromosi perpaduan dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa.

Misi ME 2023 akan bermula April ini sehingga 11 Jun 2023.

Misi ini adalah kesinambungan tahun lalu di mana empat pendaki terpaksa berpatah balik disebabkan angin kencang disusuli ribut salji mencecah kelajuan 54 kilometer (km) hingga 70 km per jam.

Ketika itu kedudukan mereka berada kira-kira 7,600 meter (m) dari paras laut (8,849 m ketinggian Everest) di 'Yellow Band' antara kem tiga dan kem empat dan hanya memerlukan anggaran 16 jam untuk tiba dipuncak.

Atas nasihat ketua sherpa pendaki diarahkan untuk berpatah balik demi keselamatan dan sekiranya diteruskan dikhuatiri berdepan pelbagai masalah kepada pendaki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!