PM beri bayangan akan ada pemimpin disiasat SPRM

Anwar dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan akan ada pemimpin semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, ada banyak kerosakan yang dilakukan sewaktu pemerintahan terdahulu.

“Memang ada kebenaran semasa kerajaan Barisan Nasional, ada ketirisan dan kes-kes terlibat seperti 1MDB. Tetapi masa pemerintahan PN, ada banyak kerosakan juga.

“Ia termasuk perbelanjaan jana wibawa, projek tebatan banjir dan beberapa ketirisan lain dalam siasatan.

“Ada yang tanya, kenapa belum siasat? Seperti yang saya sebut, itu urusan SPRM dan badan-badan penguat kuasa. Kalau YB sabar, mungkin dalam masa yang terdekat ada berita baik untuk rakyat,” katanya sewaktu menjawab soalan daripada Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) berhubung isu ketirisan dalam kerajaan sebelum ini di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, menjawab soalan lisan daripada Lo Su Fui (GRS-Tawau), Anwar berkata, tumpuan SPRM kini adalah terhadap ‘jerung’ berbanding banyak masa digunakan untuk menangkap ‘ikan bilis’ sebelum ini.

Jelasnya, antara kes berskala besar yang disiasat termasuklah skandal projek air di Sabah yang melibatkan RM3.3 bilion melalui Ops Water.

Setakat ini, pemulihan aset yang berjaya diselamatkan bernilai RM63 juta dan kes masih di mahkamah.

“Kedua, sindiket bitcoin mencuri bekalan elektrik dengan kerugian sehingga RM2.3 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2021 melalui Ops Power. Ketiga, tuntutan palsu dana insentif semasa PKP Covid-19 Program Penjana Kerjaya telah diselamatkan RM426 juta.

“Sindiket pengurangan saman trafik melibatkan kelompok kartel dalam JPJ yang melibatkan jutaan ringgit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!