Perjanjian Kerajaan Perpaduan kukuh kestabilan politik

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran RTM sebagai rakan penyiar Liga Malaysia 2023 di Wisma TV. - Foto Bernama.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran RTM sebagai rakan penyiar Liga Malaysia 2023 di Wisma TV. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan yang dimeterai Disember lepas dilihat mampu menjadi asas kepada kestabilan politik, sekali gus mewujudkan kerajaan yang kukuh.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, ini kerana perjanjian yang ditandatangani pimpinan parti politik yang membentuk kerajaan itu merupakan mekanisme terbaik untuk orang ramai termasuk penyokong dan pemimpin parti saling memahami.

Perkara itu, katanya, mampu mewujudkan keyakinan antara kesemua pihak yang terlibat dan mampu mengelak berlakunya kemelut politik.

"Isunya bukan hanya sekadar proses pilihan raya tapi pemahaman politik itu, maksudnya antara parti-parti membentuk kerajaan dia perlu ada satu persefahaman yang utuh dan baik.

"Ini kita lihat bagi Kerajaan Perpaduan, termeterai atau termanifestasi dan dizahirkan melalui perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani pada pertengahan Disember 2022," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai Rakan Penyiar Liga Malaysia 2023 di sini pada Selasa.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, demikian bagi mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam yang menzahirkan harapan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri terakhir yang dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah sejak memegang tampuk pemerintahan negara bermula 31 Januari 2019, baginda telah menggalas amanat berat untuk memilih dan melantik empat perdana menteri berbeza bermula dengan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.

Pada 16 Disember lepas, lima gabungan parti politik utama - Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan yang stabil. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!