14 ahli 'Ayahanda Yie Tiger 99’ kekal dipenjara lima tahun
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Selasa mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas 14 lelaki termasuk seorang bekas atlet Muay Thai negara kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Ayahanda Yie Tiger 99’.
Ia berikutan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan pendakwaan terhadap hukuman penjara itu serta memutuskan bahawa tiada alasan untuk mahkamah mengubah atau mencampuri keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac 2021 dan Mac 2022.
"Setelah membaca dan mendengar hujahan lisan, kami mendapati Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusan beliau. Kami juga mendapati hakim berkenaan telah memperincikan faktor-faktor dalam menjatuhkan hukuman lima tahun, termasuk mengambil kira faktor kepentingan awam.
"Sehubungan itu, rayuan ditolak dan hukuman penjara lima tahun dari tarikh tangkap dikekalkan," kata hakim itu yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Supang Lian dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.
Kesemua tertuduh dengan tangan bergari, yang berada di dalam kandang tertuduh, kelihatan sebak sambil mengucapkan "Alhamdullilah" sejurus hukuman dibacakan.
Kesemua 14 tertuduh itu ialah Mohd Faizal Ramli (bekas Atlet Muay Thai negara di Sukan SEA Myanmar), Mohamad Japri Abu Samah, Astro Jakaria, Nuriasbat Mohd Maamon, Edi Narsuna Nizar, Muhammad Faris Yusoff, Muhamad Fakhrurazi Ali, Mohamad Sharfiq Mohamed Ali, Mohamad Noor Helmie Zanal Abidin, W Mohd Ihsan W Razali@W Husin, Rustam Tanni, Azukismi Che Abdullah, Nik Arzahar Nik Mat serta Masyre Mohamed Narizan yang berusia antara 27 hingga 46 tahun.Kesemua mereka yang ditahan pada 2020, 2021 dan 2022, mengaku bersalah atas dakwaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Ayahanda Yie Tiger 99’ di sebuah premis di Jalan Sentul, Pandamaran, Pelabuhan Klang, antara Mei 2017 hingga 22 Jan 2020.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad dan Khairul Aisamuddin Abdul Rahman manakala peguam S.Sathyaimi Abdul Kadir, S.Sathya, Lee Win Xu, A.Komathi, Izzat Irfan Taib, Zaleha Hayat, Lailawati Husain dan Fazilawati Hussain mewakili kesemua individu terbabit.- Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!