Teknologi dron semakin diterima pesawah

Mohd Fauzi Mat Isa memanfaatkan teknologi dron dalam membantu kerja-kerja meracun di petak sawahnya. (Gambar kecil: Abdul Rahim)
Mohd Fauzi Mat Isa memanfaatkan teknologi dron dalam membantu kerja-kerja meracun di petak sawahnya. (Gambar kecil: Abdul Rahim)
A
A
A

ALOR SETAR - Penggunaan teknologi dron dalam sektor tanaman pada hari ini semakin diterima golongan pesawah kerana ia dikatakan bukan sahaja membantu menjimatkan masa malah turut meningkatkan hasil pengeluaran padi.

Seorang pesawah, Mohd Fauzi Mat Isa, 49, dari Kampung Kuar, Mukim Tajar, dekat sini berkata, dengan modal wang simpanan sebanyak RM27,000, dia membeli drone jenis ‘custom’ sejak tiga tahun lalu bagi membantu memudahkan kerja menabur racun di kawasan sawahnya.

Menurutnya, penggunaan dron membantu memendekkan masa meracun pokok padi berbanding semburan menggunakan tong yang perlu digalas di bahu.

"Bila umur dah meningkat seperti sekarang ini, memang cepat penat tapi dengan adanya dron saya tidak perlu lagi turun dalam petak sawah untuk menabur racun.

"Paling penting penyemburan racun dengan menggunakan dron adalah sekata berbanding menggunakan tong galas yang mungkin ada kawasan padi yang mungkin racun tidak sampai," katanya ketika ditemui di Kampung Kuar dekat sini pada Isnin.

Mohd Fauzi Mat Isa, menggunakan modal wang simpanan sebanyak RM27,000 untuk membeli drone jenis ‘Custom’ sejak tiga tahun lalu bagi membantu memudahkan kerja menabur racun di kawasan sawahnya.
Mohd Fauzi Mat Isa, menggunakan modal wang simpanan sebanyak RM27,000 untuk membeli drone jenis ‘Custom’ sejak tiga tahun lalu bagi membantu memudahkan kerja menabur racun di kawasan sawahnya.

Jelas Mohd Fauzi, kaedah penyemburan racun menggunakan dron juga dapat membantu mengurangkan risiko bahan kimia, racun perosak dan baja yang berbahaya kepada pesawah sepertinya.

Tambahnya lagi, dia bercadang untuk menaik taraf lagi dron yang dimiliki kepada jenis dron yang mampu menabur benih padi dan baja pula selepas ini.

"Saya juga bercadang untuk menaik taraf lagi dron yang digunakan sekarang sebab dron yang saya gunakan hanya mampu menabur racun sahaja.

"Dron yang terkini lebih canggih kerana mampu tabur benih, baja dan racun namun harganya memang lebih tinggi. Walaupun lebih mahal ia sebenarnya sangat membantu dalam menjimatkan masa para pesawah," ujar bapa kepada dua anak ini.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Abdul Rahim Mustaffa, 73, turut mengakui teknologi tersebut membantu menghasilkan kualiti padi yang lebih bermutu.

Menurutnya, penggunaan dron mampu menarik minta generasi muda untuk terlibat dalam industri padi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Saya lebih 30 tahun mengerjakan sawah, melihat teknologi dron memang ia memudahkan kerja selain dapat memendekkan tempoh membaja atau meracun petak sawah.

"Teknologi dron ini memang sangat diperlukan bagi memodenkan industri pertanian dalam memenuhi permintaan masa depan dan paling penting adalah menarik penglibatan generasi muda dalam industri ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!