Ciri keselamatan pendaftaran aplikasi MyJPJ ditambah
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Pengangkutan Malaysia meluluskan satu lagi ciri tambahan keselamatan pada pendaftaran aplikasi MyJPJ bermula pada Selasa bagi mengelak aplikasi itu disalahguna oleh pihak tertentu.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya menerima cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai keperluan untuk memasukkan 'unique alphanumeric identity' yang ada pada belakang kad lesen memandu.
Menurutnya, langkah ini diambil selepas wujud kebimbangan sekiranya nombor kad pengenalan seseorang itu jatuh ke atas tangan pihak lain.
"Pemilik lesen yang ada nombor ini pada belakang kad perlu memasukkannya ketika proses pendaftaran baharulah pendaftaran MyJPJ berjaya," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program ARTS on the MOVE (AOTM) anjuran thinkcity dengan kerjasama MRT Corporation Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Sime Darby dan Kementerian Pelancongan pada Selasa.
Jelasnya lagi, jika individu itu tidak mempunyai lesen memandu mereka perlu hadir ke pejabat JPJ bagi membolehkan pendaftaran aplikasi berkenaan dibuat.
"Kalau yang sudah daftar boleh teruskan sahaja, penggunaan 'unique alphanumeric identity' untuk mereka yang ingin membuat pendaftaran bermula hari ini.
"Tidak boleh daftar kali kedua guna nombor kad pengenalan yang sama sebab itu ada kes mereka lupa pernah daftar kad pengenalan dengan aplikasi mysikap dan ebid sebab itu tak boleh daftar lagi untuk MyJPJ," katanya.
Mengulas lanjut mengenai program yang diadakan, beliau berkata, bermula 14 Februari AOTM akan mengadakan persembahan kebudayaan di Stesen MRT Pasar Seni di pusat bandar Kuala Lumpur.
"Inisiatif seni awam ini akan berlangsung selama enam bulan merangkumi persembahan secara langsung, instalasi seni dan bengkel seni.
"Pasar Seni telah terkenal menjadi tempat tumpuan untuk menerokai sejarah, warisan, budaya dan makanan yang ditawarkan di pusat bandar Kuala Lumpur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!