Dakwaan tiga pemimpin PN tak hadir mesyuarat tidak berasas
SHAH ALAM - Dakwaan tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) tiada semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada sebelah pagi Selasa adalah tidak berasas.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pemimpin terbabit iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya hadir ketika mesyuarat berkenaan.
"Saya berada sebaris dengan mereka di dalam Dewan Rakyat dan melihat sendiri bahawa mereka hadir pagi tadi," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai membidas hantaran Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengenai tuduhan berkenaan.
Chean Chung membangkitkan persoalan adakah kesemua pemimpin terbabit lebih sibuk sehingga tidak dapat menghadiri Parlimen.
Mohd Radzi menambah, dakwaan yang dibuat itu adalah tidak wajar.
Beliau turut memuat naik gambar yang memaparkan ketiadaan sebahagian besar ahli Parlimen daripada blok kerajaan ketika mesyuarat berkenaan pada sebelah petang.
"Mudah sebenarnya nak buat cerita daripada sekeping gambar dalam Dewan Rakyat ni.
"Contohnya, gambar ini. Saya ambil gambar blok Menteri dan Timbalan Menteri pada jam 4.16 petang ketika Ketua Pembangkang sedang berbahas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!