Dua budak lelaki nyaris lemas mandi di parit
KOTA MARUDU - Dua kanak-kanak lelaki nyaris lemas ketika sedang memancing dan mandi-manda di kawasan parit di Jalan Radu, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Mohammad Azam Masrul Abdullah dan rakannya, masing-masing berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diselamatkan orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Hasbi Hajat berkata, seramai enam anggota dikejar ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.49 petang.
"Mangsa pertama berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Manakala mangsa kedua turut berjaya diselamatkan namun juga dilaporkan tidak sedarkan diri dan sempat diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh seorang pegawai bomba yang berada di luar waktu penugasan di lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dan ambulans," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, mangsa kedua kemudian dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapat rawatan selanjutnya.
"Setakat ini, kedua-duanya di klasifikasikan pengsan namun pihak bomba belum mendapat perkembangan terkini keadaan kedua mangsa berkenaan.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 5.45 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!