Isu seleweng wang zakat: MAINS komited beri kerjasama

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan wang zakat di dalam agensi itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, MAINS komited memberi kerjasama penuh melalui siasatan yang akan akan dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Isu tersebut telah disiasat oleh pihak berkuasa bermula tahun 2019 lagi.

"MAINS berharap siasatan dapat dijalankan secara terperinci, tuntas dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan pengurusan wang zakat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa

Menurutnya, laporan hasil siasatan tersebut juga amat penting bagi membersihkan imej MAINS dan mengembalikan keyakinan masyarakat Islam terhadap pengurusan zakat di Negeri Sembilan.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan kes tersebut telah dikaji semula untuk melihat keterangan-keterangan yang ada.

Katanya, kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit.

Sebelum itu SPRM Negeri Sembilan mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan pada 2019, namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memberitahu, kes itu masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

Selain itu, MAINS mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebar melalui media sosial berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!