Gajah ditemui mati makan pisang diperam karbit
BANGKOK - Pengusaha kem Koh Chang, timur Thailand memberi amaran kepada pelancong supaya tidak lagi memberi makan kepada gajah sejurus haiwan itu ditemui mati akibat memakan pisang yang dicemari bahan kimia, lapor Thaiger.
Menurut jurulatih gajah itu, Chaisawan Nueng Phisin, beberapa minggu lalu, seekor gajah jantan berumur 20 tahun di Kem Gajah Kaebai Meechai di Koh Chang didapati jatuh sakit dan mengalami kembung perut selepas diberi makan oleh pelancong.
Katanya, hasil siasatan mendapati gajah itu makan pisang yang di beli di pasar dan dicampur dengan gas etilena atau karbit.
Justeru, seorang doktor haiwan dipanggil dari Hospital Gajah di wilayah Lampang dan telah melakukan pemeriksaan endoskopi, sinaran -X dan beberapa rawatan lain, menemui kegagalan apabila haiwan itu disahkan mati pada Sabtu lalu.
Kebiasaannya di pasar segar, buah-buahan akan diperam dalam bekas mengandungi karbit supaya cepat masak. Bagaimanapun, kandungan bahan tersebut boleh membawa maut kepada haiwan seperti gajah apabila memakannya.
Jadi, pihak kem meminta kerjasama pelancong supaya berhati-hati dengan membawa makanan yang tidak dirawat bahan kimia. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!