BAMTC: Malaysia garang tundukkan UAE

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

SKUAD negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan langkah kanan selepas membenam tuan rumah 5-0 pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan B di Dubai hari ini.

Perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia mengutip mata pertama buat negara selepas mudah menewaskan Bharath Latheesh straight set 21-12, 21-15 pada aksi yang berlangsung di Pusat Pameran Dubai.

Perseorangan profesional wanita negara Goh Jin Wei pula hanya memerlukan 19 minit untuk meletakkan pasukan di hadapan 2-0 apabila memenangi perlawanan perseorangan wanita menentang Madhumitha Sundarapandian dengan 21-0 dan 21-7.

Beregu profesional lelaki negara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mengesahkan kemenangan skuad dengan menyumbang mata ketiga selepas mengetepikan Dev Ayyappan-Dhiren Ayyappan 21-11, 21-13.

Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah menewaskan Sanika Dhawan Gurav-Taabia Khan dengan 21-9 dan 21-8 dalam masa 21 minit manakala beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan gandingan Dev Vishnu-Aleena Qathun 21-10 dan 21-9.

Sementara itu, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B yang turut berlangsung hari ini, India mengalahkan Kazakhstan 5-0.

Malaysia bakal berdepan Kazakhstan dalam pusingan kedua Kumpulan B esok. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!