Air naik selepas hujan lebat lebih dua jam
![Seorang wanita bersama bayinya dipindahkan ke Dewan Kampung Samy, Tapah berikutan rumahnya dinaiki air. Foto Ihsan APM](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/02/14/2093305.jpg)
TAPAH - Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di daerah Batang Padang dan Kampar dilanda banjir kilat.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batang Padang memaklumkan hujan lebat berterusan lebih dua jam bemula jam 4 petang menyebabkan limpahan air Sungai Charuk berhampiran.
Menurutnya, antara kawasan dinaiki air adalah Kampung Samy, Taman Highland Park, Taman Tapah 2 dan Kampung Pahang.
"Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diatur gerak ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan banjir.
"Bagaimanapun, sebuah keluarga melibatkan seorang wanita dan bayinya dipindahkan dari Kampung Samy ke dewan yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.
![Anggota APM melakukan pemantauan dan kawalan di beberapa kawasan banjir kilat di Tapah. Foto Ihsan APM](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/02/14/2093306.jpg)
Di Kampar, JBPD Kampar memaklumkan pasukan anggota APM melakukan pemantauan dan tugasan kawalan selepas Jalan Besar, Gopeng dilanda banjir kilat.
"Tiada PPS dibuka, kemalangan jiwa atau rumah terjejas dilaporkan dalam kejadian banjir kilat ini.
"Hujan berterusan menyebabkan berlakunya gangguan kepada pengguna jalan raya akibat limpahan air dari longkang berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!