Ibu bapa ada hak bawa anak kecil naik pengangkutan awam
MERAK Jalanan geram dengan sikap segelintir individu yang begitu galak menghasut orang lain melarang ibu bapa membawa bayi atau anak kecil ketika menggunakan pengangkutan awam.
Alasannya kerana bayi akan menangis dan mengganggu pendengaran mereka yang sedang menikmati kemudahan awam seperti kapal terbang, bas dan transit aliran ringan.
Mereka ini terdiri daripada golongan remaja dan belia yang kononnya mahukan ketenangan serta merasa bingit telinga apabila mendengar tangisan bayi.
Lebih memalukan apabila ada remaja wanita yang berbuat demikian dengan memuat naik foto dan video situasi itu di akaun media sosial masing-masing untuk diviralkan.
Mungkin mereka sudah lupa bahawa satu ketika dahulu mereka juga pernah menjadi seorang bayi dan langsung tidak peduli kepayahan ibu bapa menguruskan anak-anak di tempat awam.
Pengangkutan awam adalah perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan kepada semua peringkat umur. Bayi dan kanak-kanak juga berhak menggunakan kemudahan tersebut.
Tiada ibu bapa yang sengaja membuatkan anak kecil mereka menangis. Jika ia berlaku, ibu bapa itu tidak akan senang duduk dan berusaha sedaya upaya menghentikan tangisan anak mereka.
Merak Jalanan yakin setiap ibu bapa akan melakukan yang terbaik kerana mereka juga memahami perasaan orang lain. Maka janganlah kita mudah merasa benci kepada ibu bapa ini sebaliknya cuba fahami situasi dihadapi mereka.
Golongan muda sepatutnya sudah boleh berfikiran waras serta bijak menguruskan situasi tersebut. Beri sokongan kepada ibu bapa berkenaan dan guna penutup telinga ketika berada di dalam pengangkutan awam.
Sedarlah bahawa kita dahulu adalah seorang bayi yang pernah menangis tanpa mengira masa dan tempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!