Pilah pun ada Menu Rahmah, tiga pilihan lauk

Mumtaz menunjukkan pilihan lauk Menu Rahmah di kedainya di Beting,Kuala Pilah.
Mumtaz menunjukkan pilihan lauk Menu Rahmah di kedainya di Beting,Kuala Pilah.
A
A
A



KUALA PILAH - Pengusaha Kedai Makan MokDe di Beting di sini menawarkan tiga Menu Rahmah kepada pelanggan.

Ayam goreng kunyit, daging goreng kunyit dan ikan goreng kunyit yang dihidangkan bersama sambal belacan, kuah kari dan air kordial merupakan menu yang ditawarkan dengan harga RM5.

Pengusahanya, Syaiful Hilal Hazad, 38, berkata, menu berkenaan tersedia kepada pelanggan bermula jam 11 pagi hingga jam 4 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat, manakala sarapan pagi bermula jam 7 pagi.

"Selain menyahut seruan kerajaan, penjualan Menu Rahmah di sini antara lainnya merupakan tanggungjawab sosial (CSR) kami kepada pelanggan yang kurang berkemampuan.

"Tambahan pula pelanggan kami terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan lokasi kedai berhampiran kawasan perindustri dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kuala Pilah serta petempatan penduduk kampung yang memberi pilihan kepada mereka menikmati menu yang enak dengan harga 'Rahmah'," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mumtaz (berdiri) bersama mahasiswa UiTM Kuala Pilah yang menikmati Menu Rahmah.
Mumtaz (berdiri) bersama mahasiswa UiTM Kuala Pilah yang menikmati Menu Rahmah.

Sementara itu, isterinya, Mumtaz Ahmad, 38 berkata,sebelum Menu Rahmah diperkenalkan kerajaan, mereka memilih untuk menjual nasi bajet, bagaimanapun ia bertukar kepada Menu Rahmah dengan tiga jenis pilihan lauk.

"Insya-ALLAH kita akan mempelbagaikan lagi menu itu dalam masa terdekat sebab sambutan pun sangat baik walaupun ada sesetengah pihak mendakwa menu ini tidak akan bertahan lama kerana kenaikan harga bahan mentah dalam pasaran dan tiada untung.

"Pada pendapat saya, jualan menu ini masih ada keuntungan walaupun sedikit. Selain Menu Rahmah juga mereka ada pilihan lauk-pauk lain yang turut dijual di sini antaranya cencaru bakar, siput sedut dan paru berlado serta lebih kurang 10 manisan dan kuih muih," katanya.

Ayam goreng kunyit dihidang bersama belacan,kuah kari dan air kordial antara Menu Rahmah di Kedai MokDe.
Ayam goreng kunyit dihidang bersama belacan,kuah kari dan air kordial antara Menu Rahmah di Kedai MokDe.

Sementara itu, berdasarkan tinjauan Sinar Harian mendapati selain Kedai MokDe, Wana Bakery di Jalan Pasar Kuala Pilah turut menawarkan menu tersebut.

Orang ramai juga boleh mendapatkan Menu Rahmah Sambal Makk pada harga RM4.50 di sebuah gerai di Pusat Penjaja Pilah Perdana yang juga menyediakan pelbagai lauk-pauk.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan sama ramai berpendapat Menu Rahmah sama seperti nasi bajet dan mereka bersetuju sekiranya menu dipelbagaikan supaya rakyat dapat merasa pelbagai jenis lauk dengan harga bajet.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!