Kampung haram PATI berusia tujuh tahun, ada surau, kedai digempur

55 PATI ditahan dalam serbuan di sebuah penempatan haram di Cyberjaya pada Rabu. (Gambar kecil: Penempatan haram PATI itu turut mempunyai surau.)
55 PATI ditahan dalam serbuan di sebuah penempatan haram di Cyberjaya pada Rabu. (Gambar kecil: Penempatan haram PATI itu turut mempunyai surau.)
A
A
A

SEPANG - Berselindung di sebalik kawasan bukit dan hutan, sebuah perkampungan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di Cyberjaya, di sini yang dilengkapi warung dan kedai runcit digempur pada Rabu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan pada jam 12.01 tengah malam itu turut melibatkan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, seramai 55 PATI warga Indonesia berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita diberkas.

"Kita juga menganggarkan kira-kira 40 warga asing tanpa dokumen berjaya melarikan diri ke dalam kawasan hutan dan belukar yang dikelilingi kayu serta kaca dipercayai menjadi 'pelindung' kampung terbabit.

"Kita (imigresen) percaya PATI yang ditahan ini masuk ke Malaysia dengan menggunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) sejak 2016 dan bekerja sebagai pekerja pembinaan serta tukang cuci," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan pada Rabu.

Beliau berkata, ketika serbuan, terdapat PATI yang menyorok di dalam reban ayam dan bawah rumah.

Katanya, pasukan operasi juga berdepan kesukaran apabila lokasi perkampungan berusia tujuh tahun ini tersorok dan sukar dikesan kerana kedudukannya tiga hingga empat kilometer dari laluan utama.

"Rumah PATI ini juga didirikan di celah pokok dan tepi belukar. Malah, dipercayai juga mereka perlu membayar sewa RM500 setiap rumah.

"Bekalan elektrik adalah menggunakan generator manakala sumber bekalan air diperoleh dari perigi yang digali dengan kedalaman kira-kira tiga hingga lima meter. Kemudahan tandas bagaimanapun agak naif," ujarnya.

55 PATI warga Indonesia berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita diberkas.
55 PATI warga Indonesia berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita diberkas.

Tambahnya, perkampungan ini juga dikesan dilengkapi surau, kedai runcit, kedai membekalkan gas memasak selain warung.

"Soal siasat terhadap wanita yang ditahan ini juga memaklumkan mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti nasi lemak, goreng pisang serta kuih di sekitar Cyberjaya.

"Berdasarkan operasi yang dijalankan ini dapat melihat kawasan yang kotor apatah lagi mereka ini tidak mempunyai suntikan kesihatan serta tahap kebersihan makanan yang dicurigai," katanya.

Jelas Khairul Dzaimee, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti siapa ketua di perkampungan ini yang memainkan peranan mengutip duit sewa selain akan mengenal pasti pemilik tanah terbabit.

"Kita juga akan melaporkan kepada pihak Majlis Perbandaran Sepang untuk tindakan memusnahkan rumah-rumah yang didirikan ini bagi memastikan penempatan ini tidak lagi didiami PATI," katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!