LSS Bukit Selambau mampu tampung tenaga 30,000 rumah

Sebanyak 134,880 panel solar fotovoltaik dengan kapasiti 30MW dipasang di LSS Bukit Selambau atas kawasan seluas 50 hektar. - Foto TNB (Gambar kecil: Mohd Yusrizal)
Sebanyak 134,880 panel solar fotovoltaik dengan kapasiti 30MW dipasang di LSS Bukit Selambau atas kawasan seluas 50 hektar. - Foto TNB (Gambar kecil: Mohd Yusrizal)
A
A
A

KUALA MUDA - Ladang Solar Berskala Besar (LSS) Bukit Selambau dekat sini mampu menjana kira-kira 150,000 megawatt setiap jam (MWh) atau secara purata sebanyak 3.7 peratus lebih tinggi daripada kuantiti tahunan yang diisytiharkan (Declared Annual Quantity, DAQ).

Pengarah Urusan TNB Renewables Sdn Bhd (TRe), Mohd Yusrizal Mohd Yusof berkata, sebanyak 134,880 panel solar fotovoltaik dengan kapasiti 30MW dipasang di LSS Bukit Selambau atas kawasan seluas 50 hektar.

"Jumlah tenaga boleh diperbaharui yang dijana ini dapat menampung permintaan tenaga bagi lebih kurang 30,000 buah rumah setiap hari,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan media ke tapak projek LSS berkenaan pada petang Selasa.

Menurutnya, dua LSS diamanahkan kerajaan iaitu di Sepang, Selangor dan Bukit Selambau, Kedah dan kini TRe sedang rancak membangunkan satu lagi LSS juga di Selambau dijangka siap menjelang Disember tahun ini.

"TNB mula mendapat kepercayaan Suruhanjaya Tenaga (ST) apabila menjayakan pembangunan LSS1 di Sepang dengan kapasiti 50MW yang mula beroperasi pada 23 November 2018.

"Pada 2021, TNB melalui TRe memenangi bidaan untuk membangunkan LSS ketiganya berkapasiti 50MW, juga di Bukit Selambau.

"LSS2 Bukit Selambau berjaya dimula tugas 114 hari lebih awal pada 8 September 2020, meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19," ujarnya lagi.

Mohd Yusrizal berkata, pelaksanaan LSS dalam industri elektrik negara mendorong kepakaran teknikal TNB dalam peralihan tenaga serta mengetengahkan komitmen TNB terhadap agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Tambahnya, pengoperasian LSS Sepang dan Bukit Selambau telah menghindari pelepasan kira-kira 89,400 tan karbon dioksida setahun, bersamaan penyerapan 2,106 batang pokok atau pemanduan 22,245 kenderaan berkuasa petrol dalam tempoh sama.

“Ini mengukuhkan lagi peranan sebagai peneraju peralihan tenaga negara dalam usaha meningkatkan peluang kepada rakyat dan negara untuk menikmati bekalan tenaga bersih dan berdaya harap.

“Dengan pengalaman dan kepakaran yang kami miliki, TRe semestinya ingin menjadi sebuah syarikat perintis yang menjadi tunjang utama pembangunan TBB di Malaysia. Kejayaan pembangunan projek LSS amat penting untuk memastikan kapasiti TBB dapat ditingkatkan,” kata Mohd Yusrizal.

Katanya lagi, TNB telah menyasarkan untuk mencapai 8,300MW kapasiti pada 2025 termasuk projek hidro besar dan komited untuk menurunkan 35 peratus intensiti pelepasan karbon pada 2035 dalam usaha mencapai karbon sifar menjelang 2050.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!