JKM cari waris Mohamad Norazman
JASIN - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang selama ini menumpang kasih seorang lelaki kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jasin.
Pegawainya, Mohd Faizal Mat Yaacob berkata, pihaknya mengambil kanak-kanak itu selepas individu yang menjaganya sejak bayi telah meninggal dunia.
Menurutnya, maklumat awal diperolehi mendapati ibu kanak-kanak berkenaan dipercayai adalah warga Indonesia dan dikenali sebagai Sumiati.
Katanya, siasatan awal pelindungnya juga mendapati kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan maklumat latar belakang keluarga juga tidak jelas.
"JKM Jasin menerima aduan mengenai seorang kanak-kanak dikenali sebagai Mohamad Norazman tidak mempunyai waris dan penjaga yang sah.
"Kami menyelamatkan kanak-kanak berkenaan di bawah Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Jelasnya, usaha mengesan waris kanak-kanak berkenaan mengikut Perintah 15(3) akta sama sedang giat dijalankan.
"Kami memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin jika mengetahui atau mengenali waris kanak-kanak itu," katanya lagi.
Orang ramai juga boleh menghubungi pejabat tersebut atau pelindung kanak-kanak itu ditalian 06-5291285.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!