Peluang tewaskan Bayern masih ada
JURULATIH Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier masih berharap pasukannya mara ke suku akhir selepas tewas kepada Bayern Munich 0-1 pada pusingan pertama 16 pasukan terbaik di laman sendiri pada awal pagi Rabu.
Menurutnya, ia tampak sukar apatah lagi perlu beraksi di Allianz Arena pada perlawanan timbal balik, namun percaya tidak mustahil menewaskan pasukan gergasi Jerman itu.
"Ia nampak perkara sukar untuk diperkatakan malam ini, tiada siapa yang mara dan tiada siapa yang sudah terkeluar.
"Saya masih berharap kami akan kembali lebih segar dalam tempoh tiga minggu dan jika boleh bermain seperti 25 hingga 30 minit terakhir, kami boleh menewaskan Bayern," katanya.
Kingsley Coman menjaringkan gol tunggal perlawanan di Paris berdepan bekas kelabnya, menyempurnakan hantaran lintang Alphonso Davies lapan minit selepas bermula babak kedua.
PSG bermain buruk untuk tempoh yang lama namun bangkit pada penghujung selepas Kylian Mbappe masuk dari bangku simpanan sekembalinya daripada kecederaan paha.
"Aksi kedua akan berlangsung lagi tiga minggu jadi kami berharap lebih ramai pemain akan pulih dan memberikan persembahan yang baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!