13 kementerian jayakan program keusahawanan anak muda
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Demi memastikan golongan belia terutama di luar bandar sentiasa berpeluang meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka, pemerkasaan aspek keusahawanan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) menjadi antara fokus Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KKDW bekerjasama dengan 12 kementerian lain bagi mencapai misi itu.
"Kita tidak bergerak secara silo, terdapat jalinan kerjasama dengan kementerian berkaitan, terutama dalam kursus TVET yang memfokuskan kursus usahawan.
"Jika perniagaan itu besar, kita bekerjasama juga dengan institusi kewangan untuk tujuan pembiayaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanya mengenai pembaharuan yang dibawa kementerian dalam menjadikan KKDW mesra anak muda dan cakna kepada isu kemaslahatan dan kemajuan desa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beberapa inisiatif turut dilaksanakan termasuk Program Start Right (PSR) serta pembaharuan dalam pemerkasaan TVET.
Selain itu menurutnya program TVET Junior, TVET Tahfiz, TVET Aras Tinggi, Program Teknousahawan TVET dan Program Pendigitalan TVET yang akan menjadi kerangka asas KKDW memartabatkan TVET seterusnya memenuhi permintaan pasaran.
Beliau berkata, pada masa ini kebolehpasaran graduan TVET berada di tahap 90.4 peratus membuktikan kursus yang ditawarkan memenuhi kehendak pasaran.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai gelanggang futsal terbuka yang terbiar dan tidak diselenggara, Ahmad Zahid berkata, mana-mana Ahli Parlimen boleh terus memohon kepada kementeriannya bagi urusan baik pulih atau pembinaan kemudahan berkenaan.
"Itu jalinan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, tetapi Yang Berhormat boleh memohon secara terus kepada saya, untuk naik taraf walaupun berbeza parti politik, kerajaan perpaduan akan memberikan layanan dan santunan yang sama kepada semua pihak," katanya.
Menjawab soalan berasingan, Ahmad Zahid berkata, KKDW mengenal pasti trend baharu dalam kalangan generasi ketiga masyarakat desa dan luar bandar yang mula memberi tumpuan kepada penghijrahan semula ke desa.
Beliau berkata, ia terbukti dengan perkembangan industri berasaskan tani dan keterjaminan makanan di kawasan luar bandar serta desa yang diusahakan generasi ketiga itu sebagai aktiviti perniagaan.
"Ertinya ini satu trend baharu dan KKDW amat komited untuk melakukan facilitation programme bagi trend baharu ini, termasuklah pendigitalan yang dilakukan dengan beberapa program oleh agensi seperti Felcra, Risda dan MARA yang akan menjurus ke arah bagaimana untuk menyantuni permasalah penghijrahan ke bandar dan sekarang kembali ke kawasan luar bandar dan desa," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam menggalakkan belia desa untuk kembali berhijrah ke kampung masing-masing bagi perancangan ekonomi dan penjanaan pendapatan.
Menjawab soalan asal Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai langkah pemugaran dan rekayasa sosial desa bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 22 program 'quick win' dan 16 'game changer' akan dilaksanakan bagi melonjak ekonomi luar bandar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!