Agrobank peruntuk RM12 juta bantu 40 petani kontrak

Dr Jeffrey G Kitingan (empat dari kanan) dan Tengku Ahmad Badli Shah (tiga dari kiri) pada majlis perasmian Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 di Beufort, Sabah pada Sabtu.
Dr Jeffrey G Kitingan (empat dari kanan) dan Tengku Ahmad Badli Shah (tiga dari kiri) pada majlis perasmian Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 di Beufort, Sabah pada Sabtu.
A
A
A

AGROBANK menerusi Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 memperuntukan pembiayaan sehingga RM12 juta kepada 40 petani kontrak daripada kumpulan B40 untuk dibimbing dan dibantu menjadi usahawan nanas berjaya dalam tempoh empat hingga lima tahun.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program itu dianjurkan dengan usahasama strategik antara syarikat Aqina Borneo Sdn Bhd dan Koperasi Pembangunan Desa dengan Agrobank menawarkan pembiayaan sehingga RM280,000 seorang untuk mengusahakan tanaman nanas di tanah seluas lima ekar untuk tempoh 54 bulan.

Menurutnya, menerusi program itu, Agrobank akan menyediakan pembiayaan kewangan mikro kepada kesemua peserta program yang berdaftar di bawah Aqina Borneo Sdn Bhd yang akan diberikan bimbingan menjadi usahawan nanas MD2 yang berjaya dalam tempoh yang singkat.

”Setiap peserta program ini akan diberikan kemahiran teknikal dan ilmu pengurusan pertanian moden mengenai penanaman nanas MD2 sebelum diberikan kawasan seluas 2.2 hektar diusahakan untuk penanaman nanas.

Tengku Ahmad Badli Shah (kiri) di Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 di lancarkan di Beufort, Sabah.
Tengku Ahmad Badli Shah (kiri) di Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 di lancarkan di Beufort, Sabah.

“Aqina Borneo Sdn Bhd akan menyediakan segala bekalan asas untuk penanaman nanas seperti sulur nanas MD2, perundingan nasihat perniagaan, penggunaan teknologi dan pasaran penjualan nanas kepada peserta.

”Sepanjang program ini, setiap peserta program akan memperoleh pendapatan minimum tetap sebanyak RM5,000 sebulan dan boleh meraih pendapatan sehingga RM50,000 bagi setiap pusingan tanaman yang diusahakan sehingga tempoh lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), Agrobank komited untuk memperkasakan golongan B40 menerusi program mikro yang fokus untuk membangunkan komuniti yang memerlukan khususnya kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak.

”Tanaman nanas MD2 merupakan sumber perniagaan yang menguntungkan. Sekiranya dikendalikan dengan betul dan secara konsisten penanam nanas boleh memperoleh hasil bulanan yang lumayan dan berterusan.

“Pasaran nanas MD2 di dalam dan luar negara juga amat luas, kerana hasil pendapatan bukan hanya terhenti di peringkat penanaman buah, malah jus dan sulur nanas juga mempunyai tempat dan nilai tersendiri di pasaran global,” kata Tengku Ahmad Badli Shah.

Pada Sabtu, Program Agro Komuniti B40 Usahawan Peladang Kontrak Tanaman Nanas MD2 di Beufort, Sabah telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!