UMNO yakin terima jawapan positif RoS
KUALA LUMPUR - UMNO yakin memperoleh jawapan positif daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung isu usul tambahan dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan tersebut bersandarkan peraturan mesyuarat dan Perlembagaan UMNO yang telah diikuti sepenuhnya.
"Kita mempunyai tempoh 20 hari untuk RoS respon pada kita dan saya yakin peraturan mesyuarat UMNO, Perlembagaan UMNO telah diikuti sepenuhnya oleh Pengerusi Tetap UMNO.
"Terdapat klausa 9.3 dan 9.4 dalam Perlembagaan UMNO yang telah dijelaskan kepada RoS dan oleh kerana PAU adalah badan tertinggi pada UMNO sendiri, maka keputusan yang telah dibuat termasuk untuk menambah usul telah diteliti juga oleh pihak RoS dan kumpulan peguam kami serta Setiausaha Agung UMNO.
"Saya yakin sebelum 60 hari kita akan peroleh jawapan yang positif daripada RoS," katanya pada sidang media di Parlimen di sini pada Rabu.
Sebelum ini, RoS memberi tempoh 60 hari kepada UMNO untuk mengemukakan penjelasan dan segala maklumat berkait aduan isu berkenaan.
Tempoh 60 hari itu bermula 20 Januari lalu, supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 pada 14 Januari lalu, berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pencalonan bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan bagi pemilihan UMNO masih terbuka seluas-luasnya.
"Setakat malam tadi saya dimaklumkan kita sudah mula terima pencalonan bagi semua sayap dan nasional, tapi saya yakin banyak lagi yang berhasrat (untuk bertanding) berdasarkan maklumat daripada media sosial, tapi masih belum daftar.
"Jadi bagi yang berminat, jawatan yang dipertandingkan terbuka seluas-luasnya dan saya harap garis panduan berkempen diikuti sepenuhnya," katanya.
Proses pendaftaran calon bagi Pemilihan UMNO 2023 pada Isnin sehingga 26 Februari 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!