KJ terima tawaran TMJ
BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mengumumkan penyertaannya bersama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam masa terdekat.
"Terima kasih TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana menjemput saya menjadi sebahagian JDT. Pasukan ini memang pasukan terbaik di Malaysia. Insya-ALLAH, dalam masa terdekat kita akan umum penglibatan saya dalam JDT.
"More or less, dah boleh confirm. Perkara ini serius, bukan main-main.
"Dulu waktu umum saya jadi DJ Hot FM pun orang ingat main-main, tak serius. Tapi pagi ini saya ada di konti," katanya semasa menjadi penyampai di radio HotFM pada Rabu.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan menawarkan Khairy jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT.
"CEO masa depan JDT dan penasihat belia Johor," tulis Tunku Ismail di laman Story Instragram baginda baru-baru ini.
Khairy juga turut membalas tawaran Tunku Ismail menerusi Story Instragramnya, dan menulis:"One door closes, others will open (satu pintu tertutup, pintu lain terbuka). Rezeki di tangan ALLAH."
Untuk rekod, Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ dianggap tidak asing dalam sukan bola sepak.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2007.
Ketika menduduki kerusi Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018, beliau mencetuskan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat.
Selain menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan, Khairy pernah menggalas portfolio sebagai Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!