Projek pembesaran Pelabuhan Kemaman mula tahun ini

Muhtar (kiri) bersama media ketika lawatan ke Pelabuhan Kemaman.
Muhtar (kiri) bersama media ketika lawatan ke Pelabuhan Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Projek pembesaran Pelabuhan Kemaman yang sedang dirancang bakal meningkatkan keupayaan pelabuhan kendalian anak syarikat pelaburan kerajaan negeri, Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Operasi EPIC, Muhtar Suhaili berkata, projek tersebut mempunyai tiga fasa melibatkan beberapa cadangan pembangunan termasuk memanjangkan pelabuhan sebanyak 650 meter dan membina benteng pemecah ombak di luar pantai Kemaman.

Menurutnya, fasa pertama iaitu penyediaan laluan kepada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun ini dengan kos sebanyak RM20 juta dan ia dijangka siap hujung tahun depan.

“Fasa kedua dijangka bermula pada tahun 2026 manakala fasa ketiga pula empat tahun kemudian. Kos projek ini agak besar jadi kita sedang berbincang dengan beberapa pelabur untuk bekerjasama menjayakan hasrat ini,” katanya selepas menerima kunjungan media ke Pelabuhan Kemaman, di sini pada Selasa.

Muhtar berkata, Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman dilaksanakan untuk memenuhi permintaan aktiviti yang semakin meningkat seiring dengan jangkaan peningkatan kapasiti pengendalian kargo sebanyak 12 juta tan metrik (MT) pada masa ini kepada 30 juta MT selepas ia siap nanti.

Jelas beliau, pelan pembangunan tersebut turut melibatkan modenisasi dan pembesaran pelabuhan dan menaik taraf kemudahan untuk menampung keperluan pengguna pada masa sekarang dan masa hadapan dengan kos keseluruhan projek dianggarkan hampir RM3 bilion.

“Pelabuhan Kemaman adalah salah sebuah pelabuhan laut paling dalam di Malaysia yang pesat membangun sebagai pintu masuk ke rantau Asia-Pasifik dan menjadi aset yang amat penting untuk Negeri Terengganu.

“Kami menawarkan perkhidmatan pengendalian kontena daripada kawasan perindustrian di sekitar Pelabuhan dengan keupayaan mengendalikan kapal sehingga 150,000 DWT dan pelbagai jenis kargo meliputi kargo am, pukal kering dan pukal cecair,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!