Tiga anak Undang Luak Rembau didakwa cedera ibu tiri

Kesemua tertuduh dilihat keluar menaiki sebuah kereta selepas selesai membayar jaminan
Kesemua tertuduh dilihat keluar menaiki sebuah kereta selepas selesai membayar jaminan
A
A
A

REMBAU - Tiga anak Undang Luak Rembau dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau pada Rabu atas pertuduhan mencederakan ibu tiri tahun lalu.

Tertuduh yang masing-masing merupakan ahli perniagaan Datuk Kamarul Halim Muhamad Sharip, 50, Datuk Kamarul Nizam Muhamad Sharip, 55 dan Muhamad Fairuz Muhamad Sharip, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Kartini Kasran selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap ibu tiri yang berusia 42 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 23 Ogos 2022 jam lebih kurang 3.30 petang di Pejabat Balai Undang Rembau di Rembau.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun.

Kesemua tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly membantah jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Bagaimanapun katanya, jika mahkamah benarkan pendakwaan menawarkan RM10,000 kerana kes melibatkan kesalahan wajib penjara ditambah pula mangsa adalah seorang wanita manakala kesemua tertuduh adalah lelaki.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan setiap penjamin merupakan warganegara serta tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga prosiding kes selesai.

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen 22 Mac ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!