Speaker ingatkan ahli Parlimen jaga adab ketika berbahas

Datuk Johari Abdul. - Foto Bernama
Datuk Johari Abdul. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen yang berbahas di Dewan Rakyat diingatkan agar tidak menggunakan perkataan berbaur perkauman, menghina atau tidak mengikut peraturan Parlimen berdepan dengan tindakan tegas.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, perkara itu telah dipersetujui hasil daripada perbincangan bersama wakil ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada Selasa mengenai perjalanan serta pembaharuan persidangan.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Whip Kerajaan, Ketua Pembangkang, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan dan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN).

“Hasil daripada pertemuan itu, kita telah bersetuju agar ahli Parlimen dapat memberikan komitmen yang tinggi untuk mempertahankan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dalam memastikan perkataan yang berbaur perkauman, menghina dan tidak mengikut peraturan tidak digunakan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Justeru, beliau mengingatkan tindakan akan diambil berasaskan Peraturan Majlis Mesyuarat jika perkataan yang dimaksudkan itu masih disebut oleh ahli Parlimen yang berbahas di Dewan Rakyat.

“Saya mengharapkan semua ahli Yang Berhormat dapat memberikan komitmen demi menjamin perjalanan Dewan Rakyat yang berkualiti dan beradab sopan serta menghayati prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.