Dua ditahan curi diesel bersubsidi

Dua lori tangki yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Telok Panglima Garang, pada Selasa.
Dua lori tangki yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Telok Panglima Garang, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dengan kes penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Telok Panglima Garang, pada Selasa.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya turut menyita dua lori tangki bersama peralatan lain seperti empat unit penyedut minyak bermeter berserta hos dan 20,000 liter diesel dalam serbuan pada jam 12 tengah hari.

"Jumlah anggaran nilai sitaan secara keseluruhan adalah mencecah RM711,000," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zuhairi berkata, modus operandi kes itu adalah disyaki aktiviti pengisian secara berulang di stesen minyak di kawasan berhampiran dari lokasi serbuan.

"Aktiviti pengisian minyak dilakukan secara berulang dan kemudiannya di hantar ke premis berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pasukan serbuan telah mengeluarkan suatu arahan pengisytiharan stok untuk individu berkenaan mengemukakan maklumat, dokumen di bawah Seksyen 8, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

"Kedua-dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun itu ditahan untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut AKB 1961 dan Seksyen 21 akta yang sama," katanya.