Abang bomba ‘ketagih’ derma darah selepas dicabar isteri

Mohamad Zaki berbaring (kanan) menderma darah kali ke-15 pada Rabu.
Mohamad Zaki berbaring (kanan) menderma darah kali ke-15 pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anggota bomba menjadi ‘ketagih’ menderma darah selepas dicabar oleh isterinya untuk berbuat demikian pada tujuh tahun lalu.

Pegawai bomba tersebut, Mohamad Zaki Ismail, 44, sebelum itu tidak pernah menderma kerana berasa gementar apabila melihat jarum.

“Sebelum ini pun saya dah rasa tercabar sebab tengok kawan-kawan bomba lain menderma darah.

“Saya ajak isteri derma darah, tetapi dia pula cabar saya untuk menderma. Saya sahut cabaran dan sudah tidak gentar pada jarum serta sehingga sekarang sudah 15 kali menderma darah jenis B,” katanya ketika ditemui pada Program Menderma Darah di Hotel Perdana di sini pada Rabu.

Mohamad Zaki (kiri) melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum menderma darah.
Mohamad Zaki (kiri) melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum menderma darah.

Menurut bapa dua anak yang bertugas di Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Balai Bomba Pengkalan Chepa itu, bersedia untuk menderma darah pada bila-bila masa sahaja dan menjadikan tindakan itu sebagai antara cara untuknya terus menabur jasa kepada masyarakat.

"Sudah menjadi tanggungjawab dan amanah bagi seorang anggota bomba dalam usaha-usaha menyelamat dan membantu lebih ramai orang.

"Selain tugas hakiki seperti memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa lemas, bomba juga boleh menyelamatkan nyawa dengan cara menderma darah," katanya yang turut menyambung pengajian jarak jauh, Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan di Universiti Malaysia Kelantan.

Turut menderma pada program itu ialah 20 bomba dari balai sama dan balai Kota Bharu termasuk Ketua Balai Bomba Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital Univerisiti Sains Malaysia, Dr Mohd Amran Ab Wahab berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak darah kumpulan A dan O ketika ini.

"Kami sasarkan memperoleh 50 pain darah pada program ini dan berharap orang ramai dapat membantu menyumbangkan darah masing-masing.

"Bekalan darah yang digunakan setahun ialah antara 12,000 hingga 17,000 pain dalam tempoh setahun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!