Polis buka kertas siasatan kes tikam di Hospital Selayang
SHAH ALAM - Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan kes seorang pesakit mental menikam seorang lelaki di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, dalam kejadian pada jam 3.45 petang itu, saksi mendakwa suspek berusia 22 tahun telah menikam di bahagian pinggang mangsa dengan menggunakan pisau.
"Akibat serangan tersebut, mangsa berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan pada abdomen kiri dan kanan badan serta pada bahagian belakang badan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, keadaan mangsa kini stabil setelah menjalani pembedahan.
"Punca suspek menyerang mangsa tidak diketahui," katanya.
Beliau berkata, suspek telah diberi rawatan dan ditempatkan di Wad Psikiatri Hospital Selayang.
Katanya, kertas siasatan berhubung kes tersebut dibuka bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Pada Rabu, media melaporkan Kementerian Kesihatan akan memastikan lelaki yang cedera ditikam seorang pesakit mental di Hospital Selayang, di sini semalam diberikan rawatan terbaik.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, beliau bersama Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan Pengarah Hospital Selayang, Dr Afidah Ali serta pasukan doktor yang merawat mangsa telah bertemu keluarga mangsa.
Selain itu, Dr Zaliha berkata, status terkini pesakit juga akan dilaporkan dari masa ke masa kepada keluarga dan insiden sedang disiasat pihak berwajib.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapan di Twitter berkata, kejadian tikaman itu dilakukan oleh seorang pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.
Sehubungan itu katanya, kementerian akan mengkaji semula prosedur operasi standard bagi pesakit yang mengalami gangguan mental.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!