Belanjawan 2023: Salur bantuan fiskal kepada sektor ekonomi
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa terus menyediakan bantuan fiskal dan bukan fiskal kepada sektor ekonomi utama menerusi Belanjawan 2023 bagi memastikan proses pemulihan ekonomi negara tidak terjejas.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) ketika perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu menegaskan, perhatian wajar diberikan kepada usaha memudahcara pertumbuhan dalam semua sektor utama.
"Sektor yang terjejas teruk seperti pembinaan, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan, termasuk subsektor pelancongan serta perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) mesti dipastikan terus berada pada landasan pemulihan yang betul.
"Masalah yang mereka hadapi seperti aliran tunai, kekurangan pekerja dan peningkatan kos operasi perniagaan mesti ditangani dengan cekap dan berkesan," katanya.
Beliau berkata, sektor ekonomi yang dinyatakan masih memerlukan sokongan kerajaan dalam usaha pemulihan, terutama bagi menghadapi keadaan ekonomi dunia yang dijangka lebih suram tahun ini.
"Kita tidak mahu sektor yang sedang pulih ini jatuh lagi akibat kemelesetan ekonomi global yang akan turut menjejaskan ekonomi negara kita," tambahnya.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata, kerajan perlu merencana strategi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memperkukuhkan PMKS menerusi insentif yang bakal diumumkan menerusi Belanjawan 2023 akan datang.
"Perkara paling penting ialah mempermudahkan segala permohonan dan kurangkan karenah birokrasi yang merumitkan terhadap PMKS, selagi permohonan (bantuan) mereka dibuat mengikut syarat yang ditetapkan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!