Kes NCD meningkat antara punca kesesakan di Jabatan Kecemasan

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) akibat kesan daripada pandemik Covid-19 merupakan antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kesesakan di jabatan itu bukan perkara baharu sebaliknya telah diwarisi sejak sekian lama, namun Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengambil serius berhubung isu berkenaan.

"Mengikut data yang diperoleh Pusat Informatik Kesihatan (PIK) Bahagian Perancangan KKM, kita lihat ada trend peningkatan kehadiran pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

"Ini berpunca daripada pelbagai faktor dan salah satu faktor adalah kesan pandemik Covid-19 di mana penyakit NCD dan komplikasinya semakin hari semakin meningkat,” katanya menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai perancangan KKM untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan seluruh negara semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, KKM telah merangka tujuh langkah dan inisiatif dalam mengurangkan kesesakan di hospital dan masa menunggu pesakit bagi mendapatkan rawatan termasuk melakukan pengauditan dalaman dan meneliti semula keberkesanan inisiatif sedia ada KKM.

Katanya, beliau juga turun ke lapangan dan bertemu pengarah hospital dan negeri untuk mendengar sendiri dan memahami isu dan masalah secara spesifik serta mencari penyelesaian bersama untuk menyediakan inisiatif terbaik di hospital kerajaan.

Selain itu, KKM turut memperkasa Lean Healthcare yang menyasarkan pengurangan waktu menunggu untuk berjumpa doktor bermula di kaunter pendaftaran sehingga pesakit mengambil ubat di farmasi, serta waktu menunggu katil bagi pesakit yang perlu dimasukkan ke wad.

"Contoh pelaksanaan adalah di Jabatan Kecemasan HTAR (Hospital Tengku Ampuan Rahimah) di mana kita sendiri melihat Lean Healthcare dapat mengurangkan masa menunggu pesakit daripada 192 minit kepada hanya 88 minit walaupun agak panjang juga, tetapi secara puratanya kita dapat kurangkan.

"Di wad perubatan pula, kita kurangkan masa menunggu pesakit untuk discaj daripada 360 minit kepada separuh iaitu 180 minit,” katanya.

Dr Zaliha berkata, KKM juga memperkenalkan projek Short Stay Unit yang memfokuskan pesakit yang stabil dan memerlukan rawatan kurang 72 jam atau tiga hari akan dimasukkan ke dalam unit tersebut untuk rawatan berfokus dan optimum.

Beliau berkata, inisiatif lain melibatkan pelaksanaan Unit Pengurusan Katil (BMU) secara berpusat di peringkat hospital yang bertanggungjawab dalam pengurusan katil dan aliran pesakit secara berpusat sama ada pesakit kecemasan atau elektif bermula daripada proses kemasukan, discaj, pemindahan dalaman dan antara fasiliti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!