PBB bincang kesan dua gempa bumi landa Turkiye, Syria

Pandangan dari udara menunjukkan runtuhan bangunan semasa operasi menyelamat yang dijalankan di Kahramanmaras, tenggara Turki pada Selasa, lapan hari selepas gempa bumi melanda tenggara negara itu. - Foto EPA
Pandangan dari udara menunjukkan runtuhan bangunan semasa operasi menyelamat yang dijalankan di Kahramanmaras, tenggara Turki pada Selasa, lapan hari selepas gempa bumi melanda tenggara negara itu. - Foto EPA
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa membincangkan kesan gempa bumi yang melanda Türkiye dan Syria minggu lalu, lapor Agensi Anadolu.

Seramai 4.6 juta kanak-kanak yang tinggal di 10 wilayah di Türkiye dan 2.5 juta kanak-kanak di Syria dilaporkan terjejas akibat bencana itu, menurut jurucakap UNICEF James Elder.

Elder menyuarakan kebimbangan bahawa beribu-ribu kanak-kanak mungkin menjadi korban gempa bumi dan menekankan keperluan sokongan tambahan untuk kanak-kanak dan keluarga mereka.

Pengarah Negara dan Wakil Program Makanan Sedunia (WFP) di Syria, Kenneth Crossley menegaskan bahawa Aleppo, Hama dan Latakia terjejas teruk akibat gempa bumi.

Pihaknya telah bekerjasama dengan rakan kongsi mereka untuk merawat mangsa yang cedera, termasuk di barat laut Syria.

Bantuan makanan turut disalurkan kepada kira-kira 180,000 orang di barat laut Syria, katanya.

Sementara itu, pembukaan sempadan di barat laut Syria sangat dialu-alukan bagi memudahkan akses kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa, dan langkah ini sangat penting untuk kesinambungan bantuan kemanusiaan, kata Crossley.

Jurucakap Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Paul Dillon berkata, 11 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dihantar ke barat laut Syria pada Selasa melalui Pintu Sempadan Bab Al-Salam di Azaz dan melalui Pintu Sempadan Oncupinar di wilayah Kilis selatan Türkiye.

IOM telah menghantar 30 trak ke Idlib bagi menyalurkan bantuan, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!