Terengganu fokus tarik pelabur sektor pembuatan, farmaseutikal

Penerima biasiswa pasca siswazah Yayasan Terengganu merakam gambar bersama Ahmad Samsuri selepas sesi dialog di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Rabu.
Penerima biasiswa pasca siswazah Yayasan Terengganu merakam gambar bersama Ahmad Samsuri selepas sesi dialog di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu memberi fokus untuk meningkatkan lagi pelaburan ke negeri itu antaranya melibatkan sektor pembuatan dan farmaseutikal.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia antara perkara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Selasa.

"Antara perbincangan ialah untuk meningkatkan jumlah pelaburan di Terengganu. Saya dimaklumkan dalam waktu terdekat ini MITI akan mewakili misi pelaburan ke luar negara.

"Mungkin negeri-negeri akan dijemput untuk turut sama menyertai ke negara tertentu dalam tempoh terdekat. Kita akan tunggu maklumat dari pihak kementerian.

"Selain itu, kami juga bincang mengenai industri yang boleh dibawa ke Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama penerima biasiswa pasca siswazah Yayasan Terengganu (YT), di sini, pada Rabu.

Menurut Ahmad Samsuri, bidang pembuatan dan farmaseutikal masih kurang diberi tumpuan walaupun Terengganu sudah memiliki Biopolimer Park di Kerteh.

"Kita akan memberi fokus kepada bidang selain minyak dan gas bagi memastikan terdapat kepelbagaian bidang antaranya bidang pembuatan dan farmaseutikal.

"Sektor yang kurang diberi tumpuan ini akan diberi perhatian supaya ia (hasil) dapat dipertingkatkan lagi," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!