Pindaan Akta Percetakan Teks Al-Quran dibentang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Qur'an (Pindaan) 2023 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini yang antara lain untuk menaikkan penalti dan hukuman penjara bagi kesalahan mencetak atau menerbitkan teks al-Quran yang tidak diperakui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).

Rang undang-undang yang bertujuan meminda Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 itu mencadangkan peningkatan jumlah penalti maksimum kepada RM50,000 daripada RM10,000, serta menaikkan hukuman maksimum penjara dari tiga tahun ke lima tahun.

Rang undang-undang itu juga bagi menaikkan penalti untuk kesalahan mencetak atau menerbitkan sesuatu teks al-Quran yang berbeza dengan ayat-ayat al-Quran yang diperakui betul oleh LPPPQ dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 berbanding RM20,000 sebelum ini.

Selain itu, ia juga memberi mahkamah kuasa untuk memerintahkan pelucuthakan sesuatu teks atau bahan al-Quran yang tidak mengikut kaedah penulisan yang ditentukan LPPQ.

Rang undang-undang itu juga memasukkan seksyen baharu bertujuan memberi LPPPQ kuasa untuk mengeluarkan garis panduan atau arahan sebagaimana yang difikirkan sesuai untuk mengawal selia pencetakan, pengimportan, penerbitan, penjualan, pengedaran, pelupusan, penterjemahan atau pentafsiran teks atau bahan al-Quran.

Peruntukan baharu itu juga membenarkan LPPPQ mengenakan penalti kewangan bagi apa-apa ketidakpatuhan terhadap mana-mana garis panduan atau arahan yang dikeluarkan oleh lembaga itu.

Rang undang-undang itu dibentang Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang menyatakan bacaan kali kedua dan ketiga akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!