Syor penyenaraian IPO Petronas perlu diteliti

Rafizi - Foto Bernama
Rafizi - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebarang langkah atau keperluan untuk menyenaraikan tawaran awam permulaan (IPO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) perlu diteliti dan tidak seharusnya melibatkan perkara-perkara yang telah termaktub dalam Akta Perdagangan Petroleum (PDA) 1974.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini berikutan terdapat beberapa perkara khusus dalam akta tersebut seperti fungsi Petronas dalam menjaga, mentadbir dan mengawal selia sumber hidrokarbon dalam negara ini.

"Sebab itu, saya lihat sebelum ini apabila Petronas menyenaraikan perniagaannya, apa yang disenaraikan adalah perkara-perkara yang tidak menyentuh bidang kuasa serta bidang tugas khusus dalam Akta PDA 1974.

"Jadi perkara itu akan terus diperhalusi jika ada keperluan dan pilihannya. Namun semua ini adalah dalam bidang kuasa Menteri Kewangan," katanya pada sidang media mengenai Prestasi Ekonomi Malaysia dan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2022 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Rafizi berkata, sebagai individu yang pernah berkhidmat di Petronas, beliau melihat syarikat minyak dan gas negara itu mempunyai kedudukan unik yang perlu diambil kira sejajar dengan peranan organisasi itu sebagai pihak pengawal selia sumber hidrokarbon di Malaysia.

"Oleh itu, ini menyamai (sebagai contohnya) seperti menswastakan Jabatan Perhutanan," katanya.

Beliau mengulas saranan Ahli Parlimen (PH-Subang) Wong Chen semalam agar kerajaan mengkaji kemungkinan untuk menyenaraikan IPO Petronas sebagai antara kaedah mengumpul dana bagi membantu mengurangkan hutang negara.

Wong Chen berkata, langkah itu akan membantu dari segi memberi suntikan tunai yang besar bagi mengurangkan hutang negara, menyediakan lebih ketelusan kewangan dan tadbir urus yang lebih baik kepada syarikat minyak dan gas negara, sekali gus meningkatkan hasil fiskal keseluruhan bagi kerajaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!