Bau pelik ganggu penduduk Pasir Gudang
PASIR GUDANG - Penduduk sekitar Taman Tanjung Puteri Resort dan Johor Jaya di sini mendakwa pencemaran alam sekitar berlaku lagi di kawasan mereka sejak tiga hari lalu.
Pengerusi Penduduk Taman Tanjung Puteri, Mohd Shah Md Ali Hanafiah, 39, berkata, penduduk mengesan berlaku pencemaran apabila terhidu bau bukan saja selepas hujan tetapi juga ketika cuaca panas.
"Pencemaran bau bermula kelmarin. Bukan sahaja baunya semacam tetapi penduduk mengadu sehingga mengakibatkan mata pedih dan tekak kering. Ada penduduk mengadu baunya sampai meloyakan dan pening kepala.
"Penduduk sehingga kini keliru punca pencemaran bau yang berulang itu. Pencemaran bau yang kuat berlaku di Jalan Seluang, taman ini.
"Ketika ini terdapat maklumat tular mendakwa itu adalah bau diesel yang berkemungkinan dibuang di longkang, namun sehingga kini punca sebenar masih tidak diketahui," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Dia berkata, masalah itu perlu dikenal pasti puncanya dan berharap peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim tidak berulang.
Katanya, kali terakhir pencemaran bau di taman itu pada pertengahan tahun lalu dan susulan perkembangan terbaharu itu, pihaknya sudah membuat aduan kepada pihak berkenaan.
Sementara itu, penduduk di Johor Jaya yang hanya mahu dikenali sebagai Vasu, 40, berkata, pencemaran bau turut berlaku di kawasan perumahan berkenaan sejak Selasa dan pagi Rabu.
Menurutnya, pencemaran bau berkenaan berlarutan selama hampir dua jam terutama selepas hujan berhenti.
"Kami juga terhidu bau yang pelik. Malah ketika pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019, penduduk di kawasan perumahan ini juga mengalami masalah sama apabila bau berkenaan dibawa angin," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff ketika dihubungi menyatakan kes aduan pencemaran bau di sekitar daerah ini masih dalam siasatan termasuk melibatkan kawasan Johor Jaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!