FAMA pastikan bekalan telur di Kedah cukup hingga Ramadan
SUNGAI PETANI - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memastikan bekalan telur di Kedah mencukupi sehingga menjelang Ramadan dan Syawal ini.
Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah berkata, bagi memastikan keperluan itu mencukupi, satu jalinan kerjasama dilaksanakan dengan beberapa pengeluar telur ayam di negeri ini.
"Di Kedah ada tujuh penternak ayam telur dan kita bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar membuat kerjasama dengan penternak untuk memastikan bekalan boleh ditampung sehingga menjelang Ramadan dan Syawal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) Ejen Pemasar FAMA@Kolej Komuniti Sungai Petani pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kamaludin Daud dan Pengarah Kolej Komuniti Sungai Petani, Sobah Abdul Hamid.
Jelas Isa, bekalan telur ayam tambahan di Kedah turut diperoleh dari syarikat pengeluar di Melaka.
"Buat masa ini, kami mendapat sumber tambahan bekalan dari syarikat di Melaka, sehingga kini mencecah 350,000 biji sudah diambil dan kita aturkan penghantaran di outlet FAMA di Kedah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!