Dua pasang suami isteri ditahan pecah mesin token, mesin urut
GEORGETOWN - Dua pasang suami isteri ditahan bersama dua lelaki lain selepas disyaki terlibat dalam kes pecah mesin duit token dan mesin urut di beberapa buah negeri termasuk Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tiga lelaki tersebut merupakan adik-beradik manakala seorang lagi adalah rakan kepada mereka.
Menurutnya, kesemua suspek yang merupakan warga tempatan itu ditahan ketika berada dalam sebuah Perodua Alza di Sungai Nibong di sini pada jam 10.30 malam, 12 Februari lalu.
"Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa dua mesin token permainan di premis perniagaan miliknya terletak di pusat hiburan di sebuah pasar raya diumpil.
"Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM2,365. Susulan daripada itu, kita melancarkan operasi dan berjaya menahan keenam-enam suspek berusia lingkungan 22 hingga 32 tahun untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Rabu.
Ujarnya, polis berjaya mengesan kereta yang dinaiki suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di salah sebuah pasar raya.
"Ketika ditahan, mereka baru tiba di Pulau Pinang dan itu merupakan kali kedua mereka masuk ke negeri ini dipercayai untuk melakukan jenayah tersebut," katanya.
Jelas Soffian, kesemua suspek yang berasal dari selatan tanah air itu sering berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat untuk menjalankan kegiatan mereka itu.
"Mereka aktif sejak Januari lalu dan tinggal di sebuah hotel di pusat bandar. Dengan penahanan kumpulan ini, kita berjaya menyelesaikan 11 kes iaitu enam di Pulau Pinang, dua kes di Perak, dua kes di Kedah dan satu di Kelantan.
"Anggaran kerugian keseluruhannya bernilai RM20,000. Mereka kini direman lima hari sehingga 17 Februari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata, kesemua mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan, penganggur, buruh binaan, peniaga bundle, juruelektrik dan pembuat kepok kubur.
Mengulas mengenai modus operandi kumpulan tersebut, Soffian berkata, mereka akan masuk ke pusat beli-belah dan mengumpil mesin token di pusat permainan di situ.
"Mereka akan berkumpul di satu-satu mesin seolah-olah sedang bermain sebelum memotong mangga pada mesin token dan mesin urut menggunakan pemotong besi untuk mengambil wang di dalamnya.
"Kebiasaannya kegiatan ini dilakukan pada waktu petang," katanya.
Tambahnya, polis merampas sebuah kereta, lima telefon bimbit, tiga alat pemotong dan wang tunai berjumlah RM729
Tambahnya lagi, kesemua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah manakala seorang daripada mereka positif dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!