Rasuah RM15 juta: SPRM tahan tiga pengarah syarikat

Antara tiga individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.
Antara tiga individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dalam penerimaan rasuah berjumlah kira-kira RM15 juta bagi mendapatkan projek pembinaan sebuah pengkalan di Pahang.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam Selasa, selepas hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

"Suspek pertama, seorang pengarah syarikat yang melobi projek pembinaan tersebut, manakala dua lagi suspek yang juga pengarah syarikat pula disyaki meminta serta menerima rasuah yang kononnya untuk diserahkan kepada seorang bekas menteri," katanya.

Perintah reman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!