Ayam, telur 'laku keras' di pasar tani mesra
IPOH - Ayam dan telur yang dijual pada harga RM10 dan ke bawah antara barangan paling banyak dibeli dalam jualan Pasar Tani Mesra sempena Hari Bertemu Pelanggan di pekarangan Stadium Indera Mulia dekat sini pada Rabu.
Sejak jualan dibuka jam 9 pagi, bahan makanan itu diserbu pengguna yang tidak mahu ketinggalan mendapatkannya pada harga lebih rendah berbanding di pasaran.
Tinjauan mendapati, kebanyakan pelanggan, terutama kalangan suri rumah dan ketua rumah sanggup beratur panjang di gerai jualan ayam dan telur agar tidak terlepas mendapatkan barangan berkenaan.
Ayam standard yang biasanya berharga RM13 dijual pada kadar RM6 seekor sementara telur gred A boleh diperolehi pada harga RM10 sepapan.
Setakat jam 4 petang, semua 1,000 ekor ayam yang disediakan bersama 2,000 papan telur habis dijual.
Suri rumah, Siti Murni Musa, 47, tidak kisah perlu beratur untuk mendapatkan bekalan itu kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai runcit dan pasar pagi.
"Murah memang murah, rugilah kalau kita tak rebut peluang ini lagipun sekarang susah nak dapatkan bekalan telur, ayam pun sekarang dah mahal," katanya.
Kakitangan swasta, Ramli Rajie, 50, yang datang sekitar jam 2 petang berjaya mendapatkan dua papan telur dan dua ekor ayam sebagai bekalan masakan di rumah.
Menurut bapa tiga anak itu, bekalan berkenaan dapatlah menampung keperluan makanan mereka sekeluarga untuk tempoh seminggu.
Sementara itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, jualan berkenaan disediakan bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan pada harga berpatutan.
"Sambutan diterima sangat baik dan jika tiada halangan, kita akan teruskan program ini ke daerah-daerah lain, mungkin sebulan sekali," katanya selepas meninjau jualan Pasar Tani Mesra di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Mohd Kahar Mukktaruddin dan Pengarah Pertanian negeri, Norsiyenti Othman.
Jualan Pasar Tani Mesra yang berlangsung selama dua hari sehingga Khamis itu merupakan inisiatif kerajaan negeri bersama jabatan dan agensi berkaitan dengan menyediakan subsidi khas kepada barangan keperluan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!