Isu gelaran 'beruk', 'kera' di Parlimen selesai

Gambar dari kiri: Mohd Sany, Awang
Gambar dari kiri: Mohd Sany, Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kontroversi berhubung gelaran ‘beruk’ dan ‘kera’ di Dewan Rakyat melibatkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) di Dewan Rakyat selesai.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, ia setelah Sany dan Awang mengadakan pertemuan dan berdamai di pejabatnya pada Selasa.

“Berkaitan isu dibangkit Ahli Parlimen Pendang semalam, saya jumpa di kamar saya Pendang dan Ahli Parlimen Hulu Langat dan ia diselesai dengan baik antara mereka berdua.

“Saya ucap terima kasih, ini contoh ahli Parlimen ada integriti dalam dewan ini,” katanya sebelum sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Parlimen pada Rabu.

Pada Selasa, Awang meminta Johari membuat keputusan perkembangan berhubung isu antara beliau dengan Sany yang tercetus pada sesi perbahasan undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.

Pada sesi berkenaan, Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Sany didakwa mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadap Awang kerana tidak berpuas hati terhadap kata-kata Awang iaitu 'Kami tidak jadi kera lah, Hulu Langat'.

Sany bertindak bangun dan menggelarkan Awang sebagai ‘Pendang Beruk’.

“Ehh hang Pendang (Awang Solahuddin) apa? Beruk?... Hang beruk, Pendang Beruk. Dia sebut dulu (kera). Hey, dia sebut dulu kera. Ini satu lagi perangai tak elok,” katanya.

Bagaimanapun, Awang menjelaskan perkataan ‘kera’ telah disalah tafsir kerana bukan dituju kepada Sany, lalu meminta wakil rakyat PH itu menarik balik tuduhan 'beruk' dan memohon maaf.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!