Terengganu bakal mempunyai penyelamat air wanita

No Image Caption
A
A
A

BESUT - Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Terengganu bakal disertai golongan wanita tidak lama lagi, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah.

Sekiranya menjadi kenyataan, Terengganu akan muncul negeri pertama dengan anggota wanita dalam unit itu, dan sebagai permulaan sebanyak 15 kekosongan dikhaskan untuk golongan itu.

"JBPM Terengganu mempunyai seramai 57 anggota PPDA dan masih mempunyai 15 kekosongan yang kita cuba isi dengan pegawai wanita,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan pengukuhan PPDA wanita di Pulau Perhentian di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Shoki, sehingga kini seramai 17 pegawai wanita telah dilatih selama enam hari di dalam kolam dan laut dan dikatakan berjaya menyahut cabaran tugasan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Suria Othman, 36, yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, yang turut menyertai latihan PPDA berkata peluang itu adalah satu penghargaan dan pastinya mendapat sambutan.

"Kebanyakan antara kami ini boleh berenang, tetapi tidak tahu cara untuk mengawal pernafasan ketika berada di dalam air. Namun setelah diajar jurulatih kami dapat melakukannya dengan baik.

“Untuk menjadi sebahagian daripada anggota PPDA, ia memerlukan keyakinan tinggi,” katanya yang telah berkhidmat selama 12 tahun dengan pasukan bomba.

Selain itu, Nurul Basirah Mohd Saifuddin, 20, yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota berkata pengalaman pernah terselamat daripada lemas sebanyak dua kali ketika zaman sekolah, menguatkan lagi keinginannya untuk menyertai pasukan PPDA.

Artikel Berkaitan:

"Apabila menyertai latihan PPDA ini, Kita dapat motivasi dan membina keyakinan diri apabila berhadapan dengan kes lemas. Saya harap dapat membantu mereka yang lain sekiranya berlaku kes yang sama," katanya.

Mengikut rekod, pada 2017 seramai 22 orang ditemui lemas, tahun lepas seramai 31 orang manakala Jan hingga April tahun ini membabitkan lapan mangsa.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Shoki berkata Terengganu mencatat kebakaran hutan dan tanah gambut seluas 600 hektar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu melibatkan 875 kes dan berpotensi meningkat, berdasarkan keadaan cuaca dan tindakan manusia yang tidak mematuhi arahan supaya mengelak membuat pembakaran terbuka.

Pada 2017, pihaknya menerima 762 panggilan kecemasan, melibatkan kebakaran seluas 6,201 hektar manakala pada tahun lepas sebanyak 1,266 panggilan (2,080 hektar).

"Kebakaran hutan yang besar ini dipengaruhi tiga faktor utama iaitu, fenomena monsun timur laut pada Mac, peralihan monsun pada April dan monsun barat daya antara Mei hingga Ogos. Jadi bila berlaku tiga peralihan monsun ini kita telah menerima jumlah hujan yang sikit,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!