Polis kesan saksi langgar lari penunggang basikal
KLANG - Polis sedang mengesan saksi kemalangan langgar lari melibatkan penunggang basikal dalam kejadian di Batu 1 Jalan Kapar di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, dalam kejadian pada jam 7 pagi, mangsa warga emas dikenali The Hong Goun, 79, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
"Berdasarkan siasatan awal kemalangan berlaku apabila mangsa sedang menyorong basikal hendak melintas jalan.
"Sebuah kenderaan kemudiannya melanggar mangsa sebelum meninggalkan lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa yang parah di kaki, kepala dan badan telah dihantar ke HTAR dan dilaporkan masih koma.
"Polis telah menerima laporan daripada keluarga mangsa hari ini, manakala kenderaan yang melanggar mangsa masih belum berbuat demikian," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Abdul 'Azim Mazlan di talian 013-4146144 bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!