Pacuan empat roda hanyut dalam saluran pembentung

Pacuan empat roda terperosok di bawah saluran pembentung parit berhampiran Bulatan Sigah, Pekan Donggongon, Penampang.
Pacuan empat roda terperosok di bawah saluran pembentung parit berhampiran Bulatan Sigah, Pekan Donggongon, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Polis Penampang mengesahkan kenderaan pacuan empat roda yang terperosok di bawah saluran pembentung parit adalah kenderaan yang dihanyutkan akibat banjir pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati kejadian berlaku berhampiran Bulatan Sigah, Pekan Donggongon dan gambar mengenainya turut tular di media sosial sejak awal pagi Rabu.

Katanya, pihaknya telah menerima laporan daripada pemilik kenderaan itu sendiri dan hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Selasa ketika daerah ini dilanda banjir.

"Keadaan jalan di kawasan berkenaan dinaiki air pada hari kejadian menyukarkan mangsa hingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya terbabas ke dalam parit.

"Mangsa berjaya menyelamatkan diri namun kenderaannya telah dihanyutkan arus deras dalam kejadian itu sehingga terperosok ke dalam pembentung parit," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Susulan laporan yang diterima, Mohd Haris menasihatkan orang ramai tidak memuat naik sebarang fakta yang tidak sahih di mana-mana platdform media sosial mengenai kejadian berkenaan.

"Ini bagi mengelak sebarang kekeliruan dan mendatangkan kegusaran kepada orang ramai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!