Anwar bertemu Erdogan, zahir solidariti bantu Turkiye
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan solidariti Malaysia sebagai negara sahabat Turkiye ketika saat getir dan sukar negara itu serta komitmen tidak berbelah bahagi terutamanya dalam membantu warga Turkiye yang terkesan dengan malapetaka gempa bumi.
Anwar dalam satu kenyataan berserta gambar pertemuannya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Ankara yang dimuat naik di laman Facebook malam ini berkata, beliau turut menyampaikan ucapan takziah dari rakyat Malaysia serta memaklumkan berkenaan bentuk bantuan yang telah diusahakan pihak Kerajaan Malaysia.
"Bersama kita mendoakan agar perisitiwa duka ini cepat berlalu dan Turkiye kembali pulih," katanya diakhiri dengan tanda pagar #MalaysiaMADANI #Turkiye.
Perdana Menteri diapit Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali hari ini mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara.
Turut bersama Perdana Menteri ialah Duta Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Pada 6 Feb lepas, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria, dan setakat 13 Feb, dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,644 orang, dengan 106,428 lagi cedera, manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.
Setakat semalam pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara telah mengeluarkan 47 mayat dan menyelamatkan lima sekeluarga. - Bernama
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!