'Berderau darah dirakam sindiket KK Garden'

Laporan Sinar Premium pada 10 Februari 2023. Gambar kanan: Mukhriz
Laporan Sinar Premium pada 10 Februari 2023. Gambar kanan: Mukhriz
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Wartawan Sinar Harian berkongsikan detik mendebarkan ketika menjalankan tinjauan di KK Garden, Myawaddy di timur sempadan Myanmar, apabila kehadiran mereka disedari ahli sindiket terbabit.

Mukhriz Mat Husin berkata, ketika menyertai misi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, beliau bukan hanya cemas tetapi perasaan takut turut menyelubungi dirinya selepas menyedari gambar mereka turut dirakam.

Ujarnya, ahli sindiket terbabit dipercayai bertugas dan melakukan rondaan di sekitar kawasan yang menjadi lokasi pemerdagangan manusia itu.

"Perkara tersebut berlaku ketika kami sedang melakukan tinjauan. Berderau darah tetapi itu risikonya kerana kami yang minta dengan YB Sim Chon Siang untuk melihat lokasi yang menjadi laluan tikus yang menjadi perantaraan kepada sindiket untuk menyeludup mangsa ke Myammar.

"Kami jumpa satu tempat yang boleh nampak terus KK Garden dan merakam situasi di sana, kebetulan pada masa itu dapat dilihat sebuah Hilux di sempadan Myammar, yang bertindak menghentikan pacuan empat roda itu dihadapan kami.

"Saya tak nampak mereka sedang merakam kelibat kami kecuali jurukamera Bernama yang memaklumkan hal berkenaan bahawa ada dua orang lelaki berpakaian hitam memerhati pergerakan dan merekod kita semua," katanya.

Beliau berkongsikan pengalamannya dalam program bual bicara santai dalam progam What's Up Netizen, 'Neraka' menunggu di Myanmar menerusi saluran Twitter Spaces, Sinar Harian pada Selasa.

Selain Mukhriz, misi tersebut turut disertai pemberita dan jurugambar Bernama serta pasukan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang yang diketuai Chon Siang.

Berikutan itu, tambah Mukhriz, tindakan segera oleh Chon Siang dengan mengarahkan kenderaan dinaiki mereka untuk berpatah balik demi keselamatan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berkongsikan kisah perjalanan yang mengambil masa kira-kira 10 jam dari Bangkok ke Mae Sot, Thailand untuk bertemu mangsa yang berjaya diselamatkan.

"Mae Sot sebuah daerah di barat Thailand bersempadan Myanmar, sepanjang ke perjalanan dan terdapat sekatan (roadblock) yang dilakukan oleh tentera sempadan Thailand.

"Tentera berkenaan lengkap bersenjata bagi mengawal ketat laluan tersebut daripada sindiket itu.

"Jadi selepas sampai ke Mea Sot, kita dapat berjumpa dengan lima orang mangsa yang telah diselamatkan dan keadaan mereka boleh dikatakan baik, meskipun pernah menerima hukuman tetapi tidak seteruk seperti mangsa lain," katanya.

Menurutnya, kelima-lima mangsa ditahan kira-kira empat bulan di KK Garden dan keadaan mereka kini masih lagi trauma.

"Ini kerana ketika diajukan soalan, mangsa dilihat ketakutan dan was-was untuk bercerita, mengambil masa sedikit untuk menemu bual mangsa tetapi akhirnya mereka sudi untuk menjawab," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!