Jangan sampai separuh bogel pun dibenar buat laporan polis
SETIAP peraturan atau undang-undang yang dibuat di negara ini mempunyai kewajarannya tersendiri, bukan bertujuan mahu menyusahkan mana-mana pihak.
Merak Jalanan percaya kod etika pemakaian bagi orang awam yang mahu membuat aduan atau berurusan di balai polis juga mempunyai kewajarannya tersendiri dalam menjaga keharmonian semua kaum di negara ini.
Merak Jalanan tak faham mengapa ada segelintir individu bukan sahaja tak mahu mematuhi kod etika pemakaian, malah melakukan provokasi dan menularkan perkara itu seolah-olah mereka betul.
Kes wanita memakai seluar pendek atas paras lutut yang berang dan melakukan provokasi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang baru-baru ini setelah diminta menukar pakaian terlebih dahulu bukanlah kes pertama. Sebelum ini banyak kes seumpama itu telah tular.
Merak Jalanan sendiri pernah menyaksikan individu berurusan di premis kerajaan mengenakan skirt atau seluar singkat yang jelas menggugat keimanan golongan lelaki di premis berkenaan.
Kod etika pemakaian itu bukanlah peraturan baharu. Di pintu masuk premis kerajaan sudah ditampal gambar mengenainya, cuma mereka ini buat-buat tak nampak atau malas membaca.
Mungkin mereka malas pulang ke rumah tukar pakaian, mungkin juga nak cuba nasib, mana tahu boleh terlepas. Apa pun, mereka tidak perlu berang atau ‘ajak bergaduh’ jika pakaian seksi mereka ditegur kerana ia memang satu kesalahan.
Lebih baik bergaduh mengenai kos sara hidup kini yang tinggi dan bagaimana menambah pendapatan keluarga daripada bergaduh mengenai seluar atau skirt atas paras lutut dipakai, yang menjadi punca urusan di premis kerajaan tidak dibenarkan.
Bagi Merak Jalanan, tanpa peraturan hidup, kita ini tidak jauh beza dengan haiwan yang bebas melakukan apa sahaja yang dimahukan.
Kebebasan bukanlah bermakna kita boleh berpakaian separuh bogel ketika ke balai polis atau berurusan di mana-mana premis kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!