Kongsi rezeki menerusi Menu Rahmah
KOTA KINABALU - Ingin berkongsi rezeki dan membantu golongan kurang berkemampuan menyebabkan seorang pemilik restoran turut menyahut seruan kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah sejak seminggu yang lalu di Kota Kinabalu.
Pemilik restoran Nasi Lemak Rendang Oma, Mohd Effni Mohd Makhtar, 36, berkata, Menu Rahmah di restorannya telah dilancarkan pada Jumaat lalu dan sejak setakat ini mendapat sambutan yang positif daripada orang ramai.
"Jika tiada Menu Rahmah pun sebenarnya pada setiap Jumaat kami akan melakukan infaq di masjid.
"Namun sejak Menu Rahmah diperkenalkan kerajaan, semakin menariklah sebab orang yang selama ini bersedekah dengan nilai RM7.90 untuk satu set makanan tetapi boleh dapat harga dengan RM5 dan lebih ramailah orang yang boleh diberi sedekah.
"Jadi kami pun terfikirlah untuk menyahut seruan kerajaan memudahkan masyarakat yang kurang berkemampuan ini dapat merasa sendiri rasa sebenar menu dari restoran Nasi Lemak Rendang Oma seperti gulai daging kawah yang kami sediakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di restorannya di Harbour City di sini pada Rabu.
Katanya lagi, Menu Rahmah yang disediakan terbahagi kepada dua jenis lauk yang menjadi pilihan pelanggan iaitu ayam goreng atau ikan goreng.
"Menu ini kita sediakan pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 10.30 pagi hingga 3 petang sesuai untuk waktu makan tengah hari dan minum petang.
"Dalam Menu Rahmah ini kita sediakan nasi putih berkuahkan gulai daging kawah bersama ikan goreng atau ayam goreng berserta sayur dan air mineral mengikut seperti yang disarankan sebagai menu makanan sihat," katanya.
Sementara itu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pula turut memperkenalkan Menu Rahmah pada Ramadan Mac depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif D’Heritage Sdn Bhd (SICC), Datuk Rosmawati Lasuki berkata, pusat konvensyen ini turut akan menyediakan makanan Menu Rahmah sepanjang Ramadan ini bermula 31 Mac hingga 23 April.
"Kami akan sediakan Menu Rahmah bermula jam 5 petang sehingga 12 tengah malam dan boleh didapati secara 'walk in' bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk bufet di SICC tetapi boleh juga membeli makanan Menu Rahmah yang bermula serendah RM5.
"Dalam Menu Rahmah ada ikan, sayur, nasi dan bubur. Jadi ini salah satu cara kita menyahut seruan kerajaan Perpaduan berkonsepkan Malaysia Madani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!